Dalam temu ramahnya bersama wakil media terpilih hari ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menggambarkan seolah-olah hanya parti itu satu-satunya dahan tempat orang Melayu berpaut.

“Mereka (orang Melayu) mahu seseorang untuk melindungi mereka..dan mereka percaya bahawa hanya orang Melayu boleh melindungi mereka, jadi mereka mahukan parti ini (Bersatu),” katanya seperti dipetik Bernama di sini hari ini.

Persoalannya, mampukah Bersatu melindungi kepentingan orang Melayu?

Bersatu bukan UMNO dan Pakatan Harapan (PH) bukan Barisan Nasional (BN). Dominasi UMNO jelas dalam BN. Oleh itu, UMNO boleh mengangkat suara orang Melayu dengan praktikal semasa menjadi kerajaan dahulu.

Situasi ini berbeza dengan Bersatu dalam PH. Bukan sahaja jumlah kerusi parti ini antara yang paling sedikit, malah suara mereka dalam Kabinet juga selalu tenggelam.

Walaupun mempunyai Perdana Menteri dan seorang menteri kanan, namun prestasi menteri-menteri Bersatu yang lain menyebabkan parti itu dilihat lemah.

Ketika satu persatu isu Melayu dan Islam disinggung rakan sekutu mereka dalam PH, apa tindakan yang diambil pemimpin parti itu?

Yang boleh dipuji mungkin hanya Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang tampil tegas mempertahankan keputusannya dalam isu memorandum pemecatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.

Bukanlah mahu merendah-rendahkan, namun sehingga kini orang Melayu masih belum nampak di mana kekuatan Bersatu untuk melindungi kepentingan mereka. Mungkin setelah tamat Perhimpunan Agung Tahun Kali Ke-2 parti itu esok, sinarnya akan kelihatan. - UTUSAN ONLINE