Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun Amerika Syarikat (AS) yang pada awalnya menerajui inisiatif ini telah menarik diri namun negara-negara yang masih kekal dalam pakatan komited untuk menjadikan TPP sebagai blok ekonomi yang signifikan selepas Kawasan Perdagangan Bebas Asia (AFTA).

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjadi ahli panel Dialog Wawasan APEC Pasca 2020 di Pusat Konvensyen dan Pameran Ariyana sempena Sidang Kemuncak Ketua-ketua Eksekutif (CEO) APEC hari ini.

“Kita komited untuk meneruskan TPP tanpa AS. TPP penting dari segi menjana kekayaan rantau.

“Kita cukup yakin persetujuan akan dicapai setidak-tidaknya demi menyelamatkan beberapa peruntukan dalam perjanjian ini,” katanya.

Dialog di luar Sidang Kemuncak APEC 2017 itu turut disertai Perdana Menteri Papua New Guinea, Peter O’ Neill.

Najib memberitahu menteri-menteri TPP-11 dan ketua-ketua perunding bermesyuarat sehingga pukul 3 pagi tadi untuk mencapai konsensus, dan perbincangan akan disambung di peringkat ketua-ketua kerajaan petang ini.

Menurutnya, buat masa ini, Jepun mengambil inisiatif mengetuai rundingan untuk memastikan perjanjian TPP menjadi kenyataan. - UTUSAN ONLINE