Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, menerusi GST, negara berjaya memungut hasil sebanyak RM45 bilion untuk digunakan oleh rakyat termasuk golongan penuntut universiti, nelayan serta pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kalau pembangkang kata hendak menghapuskan GST untuk digantikan dengan SST, itu tipu. Kalau tidak dapat hasil RM45 bilion, negara akan menjadi negara defisit.

“Kita tahu bahawa hutang negara kian menguncup tetapi kalau hasil itu tiada, hutang negara akan meningkat dan menjadi seperti di Greece,” katanya ketika berucap pada Program Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Bersama Siswa di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.

Sebanyak 400 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta menyertai program yang turut dihadiri Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia adalah antara negara yang mempunyai kadar GST terendah di dunia iaitu pada kadar enam peratus dan sistem percukaian berkenaan juga telah diamalkan di 164 negara lain dengan terbaharu di India.

“Saya berjumpa Rahul Ghandi (Presiden Kongres India) dan beliau memberitahu GST dilaksanakan di sana dalam bentuk lima lapisan dengan tertinggi sebanyak 28 peratus,” katanya.

Beliau berkata, sebagai golo­ngan yang mempunyai tahap intelek tinggi, para penuntut institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan untuk memberitahu rak­yat bahawa GST adalah sistem percukaian terbaik kepada negara.

Katanya, kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) telah mempunyai perancangan besar untuk golongan muda di negara ini termasuk pelaksanaan projek-projek seperti Transit Aliran Massa (MRT), Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur- Singapura (HSR) dan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Atas sebab itu, saya cakap kita hendak berjaya kita kena lihat global tetapi akar tetap berpaksi kepada budaya dan agama kita. Itu sangat mustahak,” katanya.

Beliau berkata, banyak lagi insiiatif yang akan dilaksanakan oleh kerajaan demi manfaat golongan muda di negara ini dan beliau telah bersetuju untuk me­ngadakan satu bab khusus untuk generasi muda pada manifesto kerajaan yang akan diumumkan kelak.