Tokoh wartawan negara, Datuk A. Kadir Jasin berkata, penubuhan majlis itu secara langsung mengakui bahawa jentera yang sedia ada, khususnya Kabinet tidak memadai bagi menangani isu-isu mengenai ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat jelata.

Menurut A. Kadir, realitinya selepas lebih lapan bulan mentadbir negara, kerajaan Pakatan Harapan (PH) belum berjaya menampakkan hasil yang boleh dirasakan oleh rakyat jelata.

"Kita tidak perlu berdolak-dalik bahawa semakin ramai rakyat jelata mula kecewa dengan prestasi kerajaan PH, termasuk dengan anggota Kabinet dan perkhidmatan awam.

"Saya rasa ramai orang tahu bahawa Perdana Menteri sendiri tidaklah terlalu gembira atau puas hati dengan prestasi anggota Kabinet," kata A. Kadir dalam blognya  The Scribe A. Kadir Jasin hari ini.

Tambah A. Kadir, boleh dikatakan setiap kali Dr. Mahathir bersemuka dengan orang ramai dan wartawan beliau akan ditanya berkenaan ketidakcekapan menteri.

Dr. Mahathir turut ditanya mengenai menteri yang amat jarang melawat rakyat jelata, menteri yang asyik berswafoto dengan pegawai-pegawai sendiri, menteri yang susah ditemui dan menteri yang tidak bercakap benar mengenai hal-hal peribadi.

"Kurangkanlah atau berhenti berswafoto dengan kakitangan sendiri dan membuat tampalan Facebook, Twitter atau Instagram yang remeh-temeh.

"Kalau boleh atau kalau berani, tolong kawal anak bini supaya tidak hebahkan gambar dan cerita kemewahan melancong ke pergunungan Alps, menaiki jet peribadi atau terbang kelas pertama ke Monte Carlo," kata A. Kadir.

Beliau turut memberi ingatan bahawa media sosial yang membantu kemenangan PH akan menjatuhkan PH jika menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri buat kerja tidak senonoh, tidak cekap dan tidak mesra rakyat.

Tegas A. Kadir, amat tidak bertanggungjawab dan amat dangkal mengharapkan Perdana Menteri menyelesai dan membersihkan semua “najis” yang dibuat oleh menteri, menteri besar, ketua menteri dan timbalan menteri.

Semalam Dr. Mahathir mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi yang dipengerusikan oleh beliau sendiri dengan 16 ahli merangkumi beberapa menteri Kabinet, tokoh-tokoh ekonomi serta pemimpin-pemimpin indusri.-UTUSAN ONLINE