Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, antaranya ialah membantu kaum India mendapatkan bantuan di bawah dasar Jaringan Keselamatan Sosial dengan mencari keluarga miskin untuk didaftarkan.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, usaha itu amat dihargai bagi memastikan tidak ada keluarga miskin dari kaum India yang tercicir dan terus hidup melarat.

"Ini adalah usaha yang amat dihargai oleh rakyat dan ini telah dilakukan oleh Parti Makkal Sakti sejak dari awal lagi dan bukannya kerana musim pilihan raya," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Gerak Gempur Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Parti Makkal Sakti Malaysia, Negeri Sembilan di sini petang ini.

Yang turut hadir, Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, Datuk R. S. Thanenthiran dan Pengerusi Parti Makkal Sakti Malaysia, Negeri Sembilan, Datuk V. Saravanakumar.

Mohamad berkata, beliau juga berpuas hati kerana Parti Makkal Sakti negeri ini telah menyusun jentera dan gerak kerja pilihan raya dengan baik sejak daripada awal.

Jelasnya, tindakan itu penting bagi memastikan parti itu telah bersiap sedia dan bukannya menunggu sehingga pengisytiharan pembubaran Parlimen.

"Apa yang perlu dilakukan kini adalah memastikan semua ahli parti kita akan keluar mengundi semasa hari membuang undi kelak.

"Ini penting kerana setiap undi amat bermakna ke arah menyumbang kemenangan BN dalam pilihan raya itu nanti," ujarnya. - UTUSAN ONLINE