Tuduhan secara membabi buta tanpa asas itu antaranya turut mengatakan senarai pengundi sudah diubah sehingga empat juta tidak ada alamat yang penuh.

Malah, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 turut mengikut jejak langkah sumbang itu menerusi laman Twitter milik pertubuhan itu dengan mendakwa mendapat laporan tentang nama pengundi hilang secara tiba-tiba daripada senarai daftar pemilih.

Menurut bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman, tindakan berkenaan merupakan sandiwara politik gabungan pembangkang PKR bagi menimbulkan kemarahan rakyat terhadap BN.

Jelas beliau, kepemimpinan tertinggi gabungan tersebut sejak dari dahulu sememangnya gemar menyalahkan orang lain disebabkan tahu tidak boleh memenangi PRU.

“Sekarang ini gabungan pembangkang PKR merasakan mereka tidak boleh menang dalam pilihan raya, maka mereka cuba mewujudkan persepsi dengan memfitnah SPR.

“Ternyata gaya politik lapuk era 80-an ini sebenarnya tidak sihat kerana saya khuatir ahli politik masa depan akan terikut-ikut sekali gus mengundang kerosakan kepada negara,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kamarul Azman berkata, fitnah yang dilemparkan juga seharusnya membuka mata rakyat tentang siapa yang sebenarnya layak mentadbir negara memandangkan BN telah mengeluarkan sebuah manifesto terbaik mencakupi segenap lapisan masyarakat.

“Gabungan pembangkang PKR ini sebenarnya tahu mereka berada dalam situasi tidak akan menang PRU-14 jadi mereka sedaya upaya mewujudkan perkara karut untuk menakut-nakutkan rakyat memandangkan pelbagai fitnah telah dilemparkan terutamanya kepada Najib.

“Namun saya yakin masyarakat ketika ini telah matang untuk menentukan apa yang benar atau tidak dalam menentukan siapa bakal memenangi PRU-14,” katanya. - UTUSAN ONLINE