Wakil UMNO Johor, Suhaimi Salleh berkata, usaha itu perlu di­lak­sanakan melalui Agenda Re­ju­­venasi Desa supaya langkah pe­mer­kasaan ekonomi negara tidak hanya tertumpu di kawasan bandar.

Menurut beliau, potensi ekonomi luar bandar perlu dibangunkan secara optimum dengan melengkapkan pelbagai kemudahan prasarana dan teknologi komunikasi yang lebih baik dan sempurna sekali gus mampu membantu seramai 3.2 juta golo­ngan muda yang meliputi 40 peratus daripada penduduk luar bandar.

“Jika kita tidak melakukan pembangunan di kawasan luar bandar, orang Melayu akan hilang pengaruh politik dan ekonomi dan adakah kita mahu pekerja yang mengusahakan kawasan ini yang satu hari nanti aset strategik di kawasan luar bandar akan dibangunkan secara sistematik melalui perladangan komersial.

“Bukankah UMNO sedia maklum penduduk desa merupakan kumpulan terbesar pengundi yang menyokong UMNO, maka inilah masanya UMNO membalas budi dan berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan mereka,” katanya ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjong Piai berkata, dalam memperkasakan ekonomi orang Melayu, penubuhan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sebagai entiti yang diharap dapat membantu peniaga Melayu dapat mengambil langkah kehadapan dengan menge­nal pasti perniagaan Melayu yang berpotensi.

Katanya, kerajaan juga dicadangkan supaya mengembalikan semula Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi merancakkan keusahawanan orang Melayu ke tahap kebolehpasaran global.

“Berhubung Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), saya tidak rasa kita boleh meramal masa depan ekonomi Malaysia pada masa depan, oleh itu, pencerahan secara mendalam kepada seluruh segmen masyarakat perlu diperjelaskan mengapa dokumen ini perlu ditandatangani.

“Oleh itu saya sarankan agar diwujudkan jawatankuasa khas yang berfungsi memberi penerangan berkesan kepada seluruh rakyat khususnya golongan peniaga Me­layu dan kerajaan juga perlu menyediakan pelan persediaan tentang apa yang akan kita lakukan dalam pasaran terbuka ini,” katanya.