Perbezaan ideologi politik dan parti bukan halangan untuk ahli-ahli UMNO dan Pas bersatu menentang mana-mana pihak yang cuba menganggu gugat kepentingan dan hak orang Melayu serta bumiputera.

Ketua Pemuda UMNO, DATUK DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI menjelaskan kepada wartawan Utusan Malaysia, FARHANA JONI signifikan tersirat hasil daripada himpunan 300,000 orang Melayu itu.
 

 

UTUSAN: Apakah rumusan yang boleh disimpulkan dalam #DaulatHimpunan 812 semalam?

ASYRAF WAJDI: Secara peribadi himpunan semalam jelas memaparkan harapan tinggi majoriti orang Melayu dan Islam di negara ini terhadap Pas dan UMNO supaya kembali bersatu membentuk gabungan mantap dalam mempertahankan agama, bangsa serta tanah air, seper­ti pembentukan Barisan Nasional (BN) pada 10 Julai 1974.

Seperti yang Datuk nyatakan, UMNO dan Pas pernah bersatu dalam BN sebelum ini, jika berlaku penyatuan dua parti tersebut selepas ini, adakah akan menimbulkan kebimbangan terhadap segelintir pihak?

Kerjasama UMNO dan Pas tidak seharusnya dikhuatirkan parti-parti komponen BN kerana hakikatnya kerjasama ini mampu mengukuhkan lagi kedudukan blok pembangkang bagi menghadapi Pakatan Harapan menjelang pilihan raya umum akan datang seperti pernah berlaku pada tahun 1974.

Berikutan itu, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan antara UMNO dan Pas bagi menzahirkan manifestasi rakyat menerusi #DaulatHimpunan812 menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Perkara ini juga sedang dalam perbincangan dan akan diperhalusi di peringkat kepemimpinan tertinggi UMNO dan Pas serta diumumkan kelak.

Tambahan pula, himpunan semalam adalah suara keramat yang dibawakan buka daripada pemimpin-pemimpin parti UMNO dan Pas, sebaliknya dipamerkan rakyat Melayu Islam secara menyeluruh. Dalam himpunan itu jelas menunjukkan rakyat mahu dua parti yang mewakili Melayu dan Islam untuk bersatu dalam mempertahankan martabat dan masa depan orang-orang Melayu.

Sebelum ini, banyak juga demonstrasi dan himpunan diadakan di negara ini seperti Bersih dan Reformasi 1998, tetapi ini #DaulatHimpunan812 dilihat paling aman, apa komen Datuk?

Ternyata #DaulatHimpunan812 adalah bukti bahawa orang Melayu dan Islam boleh hidup secara rukun dan aman; berdisiplin serta penuh ketertiban. Tiada provokasi perkauman, kebencian agama mahu pun perlakuan anarki seperti yang pernah disaksikan dalam siri-siri demonstrasi pembangkang di era reformasi dan Bersih. Tidak kurang dengan itu, kerjasama semua pihak yang berhimpun untuk menjaga kebersihan dan melakukan pembersihan secara sukarela.

Adakah mesej utama #Dau­latHimpunan812 berjaya di­sam­paikan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), orang bukan Islam dan golongan Islam libe­ral?

Ya, sudah tentu berdasarkan kehadiran ratusan ribu itu bukan hanya membantah Konvesyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tetapi berperanan sebagai manifestasi kebimbangan rakyat terhadap pelbagai tindakan kerajaan PH yang menghakis kedudukan Islam serta keistimewaan Melayu serta bumiputera seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adakah amaran kepada bukan Melayu dan mana-mana pihak bahawa jangan sesekali mempersoalkan hak dan ke­adilan kaum-kaum lain seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Kontrak Sosial dapat difahami selepas ini?

Ucapan pemidato-pemidato yang hanya memfokuskan kepada penyatuan ummah dan mempertahankan hak dijamin Perlembagaan Persekutuan sepatutnya membuka mata serta telinga mereka supaya faham, sedar dan hormat hak masing-masing.