Jelasnya, pada awalnya beliau seakan berat untuk bertanding kerana merasakan jawatan itu lebih sesuai dipegang oleh individu yang lebih muda daripadanya.

Namun Tengku Razaleigh berkata, beliau sedia menukar fikiran kepada mahu bertanding mengikut pentunjuk yang akan diperolehi sebelum tarikh tutup pendaftaran pencalonan pada 17 Jun ini.

"Soalnya, untuk bertanding perlu pergi ke 190 kawasan dari masa ke semasa yang perlu difikirkan juga, sebab itu saya utamakan orang muda memimpin.

"Bagaimanapun saya akan beristikharah tengok apakah panduan yang akan diberi kepada saya, Insya Allah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan peserta semasa sesi soal jawab forum Dilema Melayu Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di sini malam ini.

Forum itu disertai lebih 250 hadirin termasuk sebilangan Ketua-ketua UMNO Bahagian dari seluruh negara.

Pada masa sama, dalam keghairahan ahli-ahli UMNO memilih pemimpin tertinggi parti,

Tengku Razaleigh mahu setiap calon yang sah bertanding ditapis sebaik-baiknya bagi memastikan mereka yang dapat memegang jawatan diterima oleh setiap lapisan masyarakat.

"Gandingan orang lama dan baharu itu bagus, tetapi jangan buat kesilapan memilih mereka yang tidak boleh diterima masyarakat dan itulah yang menjadi kebimbangan saya," katanya.-UTUSAN ONLINE