Bukan hanya menerusi parti politik, Zakaria turut aktif dalam menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah sebagai menjalankan tanggungjawab sebagai setiausaha surau, jadi tidak hairanlah pemilihan bekas penolong pegawai tadbir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu sebagai calon BN dipersetujui banyak pihak.

Zakaria dianggap sebagai calon terbaik untuk mewakili BN bertepatan dengan kriteria yang telah ditetapkan oleh kepemimpinan parti itu yang mahukan calon anak tempatan serta dekat dengan

 

masyarakat.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, BADRUL HAFIZAN MAT ISA, Zakaria yang juga merupakan Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Kampung Sesapan Kelubi, menganggap peluang yang diperolehnya ketika ini merupakan ruang terbaik baginya untuk terus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
 

UTUSAN: Bagaimana perasaan tuan ketika mengetahui dipilih oleh BN sebagai calon untuk mewakili parti itu bagi menghadapi PRK DUN Semenyih?

ZAKARIA: Saya masih aktif sebagai ahli UMNO di peringkat cawangan iaitu sebagai Pengerusi Tetap, memang apabila kita mahu menyertai mana-mana parti politik sudah tentu menjadi hasrat untuk berkhidmat kepada rakyat. Dahulu mungkin saya hanya sebagai pengikut sahaja tetapi kini diberi kepercayaan untuk memimpin jadi saya harap dapat memikul amanah yang diberi sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat nanti, insya-Allah saya sudah bersedia.

Hampir menuju hari pe­ngundian, bagaimana tahap perkembangan kempen BN bagi menambat hati penduduk di Semenyih?

Perjalanan kempen BN berjalan lancar dan kami hampir untuk menemui kira-kira 30,000 bakal pengundi seperti yang telah disasarkan. Memang kami banyak memberi tum­puan kepada program bertemu, bersemuka dan bersalam de­ngan pengundi-pengundi terutamanya di pasar-pasar malam dan tempat tumpuan penduduk seperti di pasar raya. Namun begitu saya sedikit kecewa apabila terdapatnya kempen-kempen yang menyerang isu-isu peribadi berbanding menyentuh isu rakyat. 
Rakyat mahu tahu apa yang kita nak buat dan apa pula yang mereka dapat. Prinsip saya, politik kita kena ‘gentlemen’ lagi pun yang bertan­ding semuanya lelaki, bersainglah seperti anak jantan.

Menerusi pertemuan dengan penduduk dan bakal pengundi di Semenyih, apakah isu dan masalah yang sering dikete­ngahkan mereka?

Penduduk sering mengutarakan isu-isu tempatan, masalah harga barang yang semakin meningkat, kehidupan mereka yang susah, kesesakan jalan raya, serta kemudahan kesihatan yang perlu ditambah baik di daerah ini. Hospital di Kajang juga Serdang memang sesak, sebab itu ada dalam kalangan penduduk yang mahu sebuah hospital dibina di Semenyih. Selain itu kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menunaikan janji-janji seperti memansuhkan tol di lebuh raya juga antara isu yang dibangkitkan.

Adakah BN menerusi kempen yang dijalankan ada memberikan sebarang janji kepada penduduk?

BN tidak menaburkan sebarang janji, malah sememangnya BN te­lah membuktikan sepanjang lebih 60 tahun pemerintahan yang se­ring mengutamakan rakyat. Sememangnya sudah ada perancangan seperti mahu membina hospital dan sebagainya, tapi jika BN diberi mandat ketika pilihan raya umum lalu, tentu banyak lagi masalah lain yang dapat diselesaikan.

Apakah pentingnya untuk BN memenangi kerusi DUN Semenyih menerusi PRK kali ini?
Sangat penting, ba­nyak isyarat yang jelas telah diberikan oleh rakyat kepada PH bahawa mereka kecewa dengan janji-janji palsu PH. Rakyat tertekan, BN sudah berikan yang terbaik tetapi sekarang banyak bantuan kepada rakyat telah dipotong, harga getah dan kelapa sawit juga semakin menjunam. Isu-isu dan suara rakyat ini yang perlu dibawa oleh BN.