Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar berkata, isu jawatan ber­kenaan tidak sepatutnya dipertikai oleh kepimpinan parti itu di negeri ini kerana pemilihan Pe­ngerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan keputusan yang telah dipersetujui secara bersama di antara kepimpinan tertinggi PKR, DAP, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Isu mengenai calon jawatan Perdana Menteri ini adalah keputusan yang dibuat serta dipersetujui kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan yang mana ia diumumkan secara rasmi dalam konvensyen baru-baru ini.

“Justeru, semua pi­hak (dalam PKR Selangor) harus menghormati keputusan berkenaan selain memberikan perhatian penuh kepada agihan 51 kerusi Parlimen yang telah diperuntukkan kepada PKR terma­suklah 10 kerusi di Se­langor,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada masa sama, Xavier turut mengingatkan para pemimpin PKR supaya tidak mengenepikan peranan pucuk pimpinan parti itu dalam menentukan hala tuju dan masa depan PKR terutamanya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Malah katanya, sebarang pandangan atau rasa tidak puas hati dalam sesuatu perkara terma­suk isu calon Perdana Menteri haruslah dirujuk kepada kepimpinan pusat telebih dahulu bagi mencari jalan penyelesaian yang terbaik.

Isnin lalu, PKR Selangor dilapor menolak keputusan Pakatan Harapan yang diketuai DAP mencalonkan Mahathir sebagai Perdana Menteri Ketujuh sekiranya gabungan pembangkang itu menenangi PRU-14 dan menguasai kerajaan.

Penolakan ke atas Dr. Mahathir itu disuarakan Timbalan Pengerusi PKR negeri, Zuraida Kamaruddin apabila beliau secara terbuka menyatakan bantahan terhadap amalan 'kitar semula' pemimpin oleh Pakatan Harapan selain mencadangkan bekas Perdana Menteri itu hanya perlu dilantik sebagai menteri kanan sahaja.

Selain Zuraida, penolakan itu turut dibangkitkan Timbalan Ketua Wanita PKR Selangor, Dr. Daroyah Alwi yang terang-terangan mahu Mohamed Azmin dicalonkan untuk jawatan berkenaan manakala Ketua Komukasi PKR negeri, Hizwan Ahmad pula mahu jawatan itu dipilih dalam kalangan 'tokoh segar' dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP.