Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dalam penghakimannya berkata Seksyen 62 Akta SPRM berkenaan tidak bercanggah dengan Perkara 5(1) dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menetapkan 20 Mac ini untuk pengurusan semula kes berkenaan manakala tarikh perbicaraan membabitkan Guan Eng dan Li Koon di bawah akta tersebut kekal 27 Mac ini.

Pada 6 Januari lalu, Guan Eng dan Li Koon mencabar untuk mengisytiharkan seksyen 62 Akta SPRM 2009 itu sebagai tidak berpelembagaan dan tidak sah.

Seksyen 62 itu menetapkan tertuduh perlu menyerahkan antara lain pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan.

Kes dikendalikan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud dan Peguambela Gobind Singh Deo mewakili Guan Eng manakala Li Koon diwakili Datuk V. Sithambaram. - UTUSAN ONLINE