Saman pemula itu berhubung tindakan Roosme dan Pandikar Amin yang menolak dua soalannya berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) di Parlimen.

Peguam N. Surendran yang mewakili Loy Sian memberitahu pemberita, keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Kamaludin Md. Said selepas membenarkan permohonan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili Roosme dan Pandikar Amin yang dinamakan sebagai pihak defendan untuk membatalkan saman tersebut.

Menurut Surendran, Hakim Kamaludin tidak mengemukakan sebarang alasan dalam keputusan itu.

Pada 2 Ogos tahun lalu, Loy Sian, 48, selaku pihak plaintif memfailkan saman terhadap Roosme dan Pandikar Amin.

Loy Sian dalam afidavit sokongan menyatakan, beliau melalui pembantunya, Faisal Mustafa telah menghantar 10 soalan melalui e-mel kepada Roosme untuk dijawab jemaah menteri di Dewan Rakyat yang sedang berlangsung pada Julai tahun lalu.

Pihak plaintif bagaimanapun mendakwa, beliau dimaklumkan melalui dua surat bertarikh 21 Julai 2017, pihak defendan menolak dua daripada 10 soalan berkaitan ahli perniagaan, Low Taek Jo atau Jho Low dan skandal 1MDB. - UTUSAN ONLINE