Beliau berkata, pada masa ini, beliau belum putuskan untuk menyertai sebarang parti politik sehingga selesai tempoh bertenang bagi dirinya.

"Saya masih dalam tempoh 'bertenang' dan masih belum putuskan untuk sertai mana-mana parti politik yang lain.

"Sebelum ini saya turut mendapat pelawaan untuk menyertai DAP selain PPBM dan Amanah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi PAN negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan beberapa pemimpin daripada DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri ini.

Bekas Naib Presiden Pas itu memberitahu, beliau akan menghantar surat rasmi keluar parti itu kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan melalui emel hari ini berkuat kuasa pada pukul 11.59 malam ini.

"Tindakan itu diambil berdasarkan perlembagaan Pas Fasal 15 (2) untuk saya berhenti daripada menganggotai Pas," katanya.

Menurutnya. beliau akan terus berkhidmat sebagai wakil rakyat bebas Parlimen Pokok Sena sehingga satu pengumuman yang akan dibuat dalam tempoh terdekat ini. - UTUSAN ONLINE