Ketua Pemuda UMNO Gua Musang, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, hakikat sebenar adalah sebaliknya iaitu sehingga hari ini, masih tiada satu pun tindakan tegas diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha memerangi golongan LGBT dan menangani isu sosial itu.

Malah katanya, para menteri yang bertanggungjawab dalam isu itu sendiri dilihat seakan-akan hilang punca.

"Isu penggunaan tandas, pameran mempromosi LGBT di Georgetown, Pulau Pinang dan pelbagai isu berkaitan LGBT semakin menjadi-jadi akhirnya mereka berani berarak di jalanan menuntut Hak mereka.

"Apa yang boleh saya katakan, Mahfuz sepatutnya berusaha keras bersama Datuk Seri Mujahid Yusof (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dengan konsep 'rahmatan lil alamin' beliau yang mencadangkan agar golongan ini dididik dengan lemah-lembut.

"Dengan kerajaan yang terhegeh dan 'berlemah lembut' inilah menyebabkan golongan LGBT semakin besar kepala," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia dilaporkan berkata, LGBT) kini mula berani menuntut hak secara terbuka kerana ketegasan kerajaan yang ada sekarang terhadap mereka dan perkara itu tidak pernah berlaku ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negara.

Menyangkal kenyataan Mahfuz itu, Mohd. Azmawi Fikri berkata, sekarang ini bagi rakyat, kerajaan PH sekadar pandai membuat lawak berbanding membuat kerja. - UTUSAN ONLINE