Hashim Jasin
HASHIM JASIN

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin berkata, perkembangan positif itu bermula sejurus selepas Ahli 
Parlimen Pokok Sena itu yang telah 34 tahun bersama Pas telah bertindak meninggalkan parti 
tersebut Disember tahun lalu.


Menurut Hashim, beliau masih ingat pada waktu itu, hanya Mahfuz berserta isteri, anak serta 
menantunya mengambil keputusan keluar daripada Pas dan susulan tindakan mereka itu, tiada 
seorang seorangpun ahli Pas mengambil langkah serupa.


“Saya masih ingat apa yang berlaku waktu itu, saya menghadiri majlis kendurinya (Mahfuz) di 
Pokok Sena dan di majlis itu juga dia telah isytihar keluar Pas bersama-sama isteri, anak dan 
menantunya.


“ Mereka empat beranak telah keluar Pas tapi tak ada ahli Pas lain yang ikut jejak langkahnya 
walaupun ada dakwaan ramai sokong tindakan dia,” katanya kepada pemberita selepas 
merasmikan Mesyuarat Agung Markas Pas Kawasan Marang di Dewan Tok Guru, Rusila dekat 
sini hari ini.


Majlis itu turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong merangkap Ketua 
Penerangan Pas negeri, Mohd. Nor Hamzah dan TImbalan Pesuruhjaya III Pas Terengganu yang 
juga Dipertua Pas Marang, Yahaya Ali.


Beliau diminta mengulas keputusan Mahfuz yang akhirnya bertindak menyertai PAN semalam 
selepas keluar daripada Pas, Disember tahun lalu kerana dikatakan tidak selari dengan dasar Pas 
yang diterajui Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Hashim yang juga bekas ADUN Sanglang seterusnya berkongsi pengalamannya sewaktu 
menghadiri satu lagi majlis keramaian anjuran Pas di Pokok Sena tidak lama selepas Mahfuz 
meninggalkan Pas.


Katanya, dalam majlis tersebut, seramai 500 orang telah menyertai Pas dan perkembangan itu 
membuktikan tindakan Mahfuz tidak sekali-kali memberi kesan negatif kepada Pas. - UTUSAN ONLINE