Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, pihaknya sentiasa tenang menghadapi kempen-kempen ‘busuk’ kepemimpinan Amanah yang bertujuan menghasut ahli-ahli Pas termasuk keluar parti.

Menurut beliau, Timbalan Menteri Sumber Manusia itu sepatutnya menumpukan usaha mengurangkan pertembungan kepentingan dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) kerana ahli-ahli Pas sentiasa istiqamah terhadap perjuangan mereka.

“Rakyat sudah mula mengenali dan memahami isi hati watak pemimpin PH yang sering bertelagah apabila berhadapan dengan isu Islam serta kepentingan masyarakat Melayu.

“Jadi, beliau (Mahfuz) tidak perlu membazirkan masa mempengaruhi ahli-ahli Pas meninggalkan perjuangan parti kerana musim daun gugur sudahpun berlalu yang tinggal gagah menghijau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena bersimpati terhadap ahli Pas yang jujur dalam perjuangan berikutan parti itu kini berada dalam kemunafikan politik selepas diperalat demi kepentingan pemimpinnya.

Mahfuz juga berkata, sebagai antara bekas pemimpin Pas, beliau memahami sikap ahli parti itu yang sebenarnya mudah ditipu termasuk dalam isu ‘kartel dedak’ seperti yang didedahkan menantu Presiden parti itu sendiri.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahmad Fakhruddin hairan apabila tidak ramai pemimpin tertinggi Melayu dalam PH yang mempertahankan kedudukan kuota pengambilan pelajar matrikulasi sehingga menyebabkan Menteri Pendidikan dihentam secara beramai-ramai oleh DAP.

“Apakah agenda ‘Malaysian Malaysia’ sudah mula berakar dalam kerajaan PH sehinggakan tiada lagi ketegasan dalam hal mempertahankan kepentingan masyarakat Melayu.

“Ini tidak termasuk lagi soal cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim oleh kerajaan PH Kedah apabila terdapat pimpinan kerajaan DAP Pulau Pinang yang cuba mengaitkan sentimen Melayu dengan projek berkenaan.

“Semua yang diperkatakan mengenai Melayu dituduh rasis, apa sudah jadi,” soalnya lagi. - UTUSAN ONLINE