Shaiful Hazizy
SHAIFUL HAZIZY

Malah menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, ucapan takziah seharusnya diberikan kepada PKR atas kesanggupan mereka menjilat kembali hamburan penghinaan terhadap Mahathir sekali gus menampakkan betapa mereka terdesak sehingga sanggup mengambil jalan yang tidak bermaruah serta mengaibkan.

"Persetujuan dinyatakan PKR untuk menjadikan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri interim merupakan langkah yang cukup dangkal, cetek dan dipenuhi wayang politik lapuk sehingga menguburkan sama sekali paksi idealisme parti itu.

"Kesediaan PKR termasuk angkatan mudanya menjulang kembali Mahathir memberi bayangan betapa jentera muda parti itu sudah menjadi pengecut. Idea reformasi sudah terperosok dalam saku politik Mahathir dan kembalinya beliau menjawai sutradara wayang politik Pakatan Harapan diketuai DAP hanya membuatkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) kelihatan lemah," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam sebuah portal berita pro pembangkang melaporkan PKR secara prinsip bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan untuk menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara jika gabungan pembangkang berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Memetik sumber, laporan itu mendakwa keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat biro politik PKR pada 19 Disember lalu dan turut mendapat restu daripada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Secara sinis Shaiful Hazizy menambah, pakatan itu hakikatnya perlu diingatkan yang pengundi di negara ini cukup cerdik dan matang untuk tidak meletakkan pemimpin bersifat 'draconian' kembali ke kancah politik negara.

"Kami menganggap keputusan PKR ini sebagai penghinaan besar kepada semua penggerak utama gerakan reformasi yang diperkenalkan PKR. Malah ramai antara mereka sendiri yang menentang cadangan itu sudah mula menyuarakannya di medai-media sosial.

"Tindakan ini bagi kami mengesahkan bahawa pakatan dicipta pembangkang hanyalah kerjasama politik lapuk yang melelahkan. Ketiadaan tenaga baharu, progresif dan muda untuk ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri merupakan kelemahan mereka paling ketara dan pengundi wajar menghukum kedangkalan pemikiran mereka pada pilihan raya umum akan datang," katanya. - UTUSAN ONLINE