Menurut beliau, kenyataan Dr. Mahathir kononnya beliau sanggup menjadi umpan bagi meraih undi Melayu untuk pakatan tersebut langsung tidak boleh ‘dipakai’ atau diterima.

“Hakikat sebenar, Dr. Mahathir bukannya menjadi umpan pakatan tersebut untuk meraih undi orang Melayu sebaliknya beliau menjadi umpan DAP bagi mendapatkan kepercayaan orang Melayu.

“Kesanggupannya menjadi um­pan demi mendukung perjua­ngan DAP sememangnya sesuatu yang amat janggal. Dulu bukan main Mahathir kata DAP sebagai parti cauvinis, rasis dan sebagainya malah turut menyatakan bahawa negara ini dominasi politiknya harus didukung oleh orang Melayu tetapi kini semuanya sudah jadi lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyem­purnakan Program Kembali ke Sekolah anjuran Kelab Penyo­kong Barisan Nasional (BNBBC) dengan kerjasama UEM Group Bhd. di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Nerang di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 400 pelajar sekolah rendah dalam kawasan Parlimen ini menerima kelengkapan persekolahan antaranya pakaian beg dan kelengkapan sekolah.

Portal berita propembangkang, Malaysiakini semalam melaporkan, Dr. Mahathir berkata, beliau bersedia menjadi umpan bagi Pakatan Harapan diketuai DAP meraih undi orang Melayu biar pun usianya sudah menghampiri 93 tahun.

Mengulas kenyataan Mahathir mengenai kemungkinan pakatan tersebut akan kembali memper­ke­nalkan Pengajaran dan Pembe­lajaran Sains dan Matematik da­lam Bahasa Inggeris (PPSMI) se­kiranya memenangi pilihan ra­ya, Mahdzir berkata, selaku pembangkang, mereka sudah tentu menabur segala macam janji termasuk bulan dan bintang bagi menarik perhatian pengundi.

“Selepas berjanji untuk memberi pendidikan percuma, hapus­kan tol serta cukai barang dan perkhidmatan (GST), mereka berjanji untuk perkenal PPSMI pula. Tunggulah lagi dua atau tiga hari, akan ada janji lain pula dibuat kerana mahukan kuasa.

“Saya tak tahu sama ada Dr. Mahathir ini pedulikan orang atau tidak tetapi beliau perlu sedar bahawa bantahan terhadap PPSMI banyak datangnya daripada pembangkang juga satu ketika dulu. Yang membatalkannya pun bukan orang lain sebaliknya Pre­siden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri yang memegang jawatan Menteri Pendidikan pada 2012,” katanya.