Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, seandainya peristiwa pada 1998 berulang, ia diibaratkan seperti gajah sama gajah berjuang, semut yang dipijak yang akhirnya menjejaskan kepentingan rakyat.

“Jika peristiwa tahun 1998 berulang, ia membawa kesan buruk kepada kestabilan politik negara dan rakyat akan terus berpecah terutama dalam kalangan penyokong tegar.

“Oleh itu, semua pihak mesti memainkan peranan dan memastikan pisang tidak berbuah dua kali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kenyataan itu dibuat dipercayai merujuk kepada penjelasan Dr. Mahathir semalam bahawa beliau konsisten dengan jawapan untuk memegang jawatan Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun sahaja sebelum menyerahkannya kepada bakal Presiden PKR, Anwar.

Ibrahim pada masa sama secara peribadi yakin Dr. Mahathir akan mengotakan kata-katanya dan meminta semua pihak berhenti membuat spekulasi kononnya Pengerusi Pakatan Harapan itu tidak akan melepaskan jawatan kepada Anwar mengikut tempoh yang dipersetujui.

“Khabar angin (Anwar tidak jadi Perdana Menteri) ini terus diperkatakan sama ada di desa, bandar, warung, restoran, surau atau masjid. Di mana-mana sahaja ramai orang menyatakan Anwar tidak akan jadi Perdana Menteri.

“Tetapi saya secara peribadi mempunyai firasat meyakini bahawa Dr. Mahathir akan mengotakan janjinya kepada Anwar,” katanya.

Beliau juga berkata, Dr. Mahathir kini sudah lanjut usia yang memerlukan masa untuk berehat dan beribadat serta tidak melihat keperluan untuk memanjangkan lagi tempoh menjadi Perdana Menteri.

“Umur Anwar juga sudah melebihi 70 tahun dan memerlukan masa apabila menjadi Perdana Menteri nanti bagi membuktikan kepimpinannya. Lagipun misi Dr. Mahathir untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sudah pun tercapai,” katanya. - UTUSAN ONLINE