Beliau berkata, tidak salah untuk mahasiswa menyokong mana-mana parti politik, namun ia tidak seharusnya menghalang mereka daripada berfikir secara kritis dan kreatif.

“Kalau parti kita tak betul, beritahu tak betul, jangan semuanya patuh, walak. Tak kira PKR atau parti lain, kena berfikir berdasarkan fakta.

“Ini yang saya tekankan dalam program latihan ahli PKR, yang penting kekalkan hak untuk ahli bertanya,” katanya dalam Program Meet Anwar@USIM (Universiti Sains Islam Malaysia) di Nilai dekat sini malam ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Madya Dr. Mohd. Rushdan Mohd. Jailani.

Menjawab soalan seorang pelajar tentang reformasi dalam kerajaan, Anwar berkata, sudah ada perubahan dan ruang lebih terbuka untuk rakyat berbanding semasa di bawah kerajaan terdahulu.

“Dulu kalau mahasiswa tanya soalan macam ini, ada yang ambil namanya dan esok kena panggil dengan Timbalan HEP (Hal Ehwal Pelajar). Malah media sekarang juga serang kerajaan secara terbuka.

“Ini sistem reformasi yang kita janjikan, masih bukan reformasi penuh tetapi ia adalah permulaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Malaysia hanya akan menjadi negara yang kuat sekiranya ia turut didokong oleh semua kaum.

“Ya, memang benar sebagai orang Melayu kita kena kuat kerana kita majoriti di negara ini, tetapi nak jadi negara yang kuat kena ada dokongan dan integrasi daripada kaum lain,” katanya. - UTUSAN ONLINE