Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, PRU-14 adalah medan terbaik untuk merungkai penderitaan yang terpaksa ditanggung penduduk negeri ini di bawah Kerajaan DAP Pulau Pinang.

“Penduduk Batu Kawan sudah lama derita, jadi ini ketika paling baik untuk membawa angin perubahan di Pulau Pinang terma­suk di Batu Kawan.

“Semua parti komponen BN perlu menghadapi keadaan ini dengan melupakan masalah yang berlaku sebelum ini, kita rapatkan barisan, kukuhkan saf dan jaga kebajikan pengundi. Selagi saya mampu, saya juga akan bantu,“ katanya ketika berucap merasmikan bangunan baharu pejabat baharu UMNO Bahagian Batu Kawan di Seri Delima, Juru, di sini hari ini.

Bangunan baharu itu dibeli UMNO Bahagian Batu Kawan daripada pemaju di Taman Seri Delima, Juru, dengan harga RM872,000 pada hujung tahun 2016.

Dalam majlis sama, Ahmad Zahid turut meluluskan peruntukan keseluruhan berjumlah RM6 juta bagi pembangunan masyarakat pelbagai kaum di Batu Kawan yang diserahkan menerusi parti komponen BN.

Bantuan itu termasuk RM1 juta bagi pembinaan kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di masjid kampung Sekolah Juru selain RM3 juta bagi menaik taraf masjid Perai dekat sini.

Sementara itu, parti Gerakan; MCA; MIC dan MyPPP pula masing-masing menerima RM500,000 khusus bagi membantu golongan ibu tunggal, golongan miskin dan pembangunan tokong serta kuil yang akan dikendalikan menerusi badan atau pertubuhan tertentu.

Tambah Ahmad Zahid, sumbangan kepada parti komponen BN itu khususnya bagi pembangunan kuil dan tokong mengambil kira semangat Kerajaan Persekutuan dalam meraikan perbezaan agama dan kaum dalam kalangan masyarakat majmuk yang menjadi teras keharmonian negara.