Ketuanya, Mohd. Dendera Billah Zamzuri berkata, Ganabatirau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin telah membuat kenyataan berbaur perkauman di Facebook miliknya semalam berhubung insiden rusuhan kuil itu dengan menuduh kumpulan Islam yang melakukan serangan.

"Kami percaya kenyataan beliau itu berniat jahat untuk memberi tanggapan dan persepsi negatif terhadap umat Islam di negara ini.

"Tuduhan melulu tanpa menunggu laporan penuh pihak polis merupakan perbuatan jahat yang dibimbangi membawa ketidak sejahteraan dan menggugat keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negara ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, di sini hari ini.

Laporan polis itu dibuat bersama Persatuan Penduduk Seksyen 6, Kelab Pencegah Jenayah Selangor dan kariah Surau Seksyen 6.

Semalam, Ganabatirau menerusi laman sosial Facebooknya telah memuat naik kenyataan kononnya terdapat sekumpulan orang Islam yang terlibat dalam insiden tersebut sebagai cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian dalam kalangan kaum di negara ini.

Beliau bagaimanapun telah mengubah kenyataannya dalam laman sosial miliknya itu selepas mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang menyifatkan kenyataan itu sebagai rasis.

Mohd. Dendera memberitahu, Menteri Besar Selangor seharusnya mengkaji semula kedudukan Ganabatirau sebagai Exco kerana tidak wajar seorang wakil rakyat menimbulkan sesuatu ketegangan di antara kaum.

"Sebagai Exco dan ADUN, beliau mempunyai pengaruh terhadap rakyat dan setiap kenyataan yang dikeluarkannya mendapat kepercayaan rakyat.

"Beliau sepatutnya bekerja untuk memastikan keharmonian rakyat bukannya meniup ketegangan kaum," ujarnya. - UTUSAN ONLINE