Ketua Gerakan Tekad Kelantan, Fikhran Hamshi Mohd. Fatmi berkata, Jelajah Orang Mudo Kongsi Raso merupakan program bual bicara santai di lokasi terbuka tumpuan ramai bermula sejak awal tahun ini.

Katanya, pentas Jelajah Orang Mudo Kongsi Raso terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin bercakap dan menyuarakan isi hati mereka tanpa mengira latar belakang.

"Pihak kami menyasarkan untuk menganjurkan program ini di kesemua 33 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang ada dalam Parlimen Kota Bharu sehinggalah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung.

"Setakat ini, sudah tiga PDM telah dilawati kami dan sambutannya cukup positif kerana wakil orang muda di setiap lokasi berkenaan sememangnya menunggu peluang sebegini untuk bersuara," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mengulas lanjut, Fikhran Hamshi memberitahu, dalam tiga siri jelajah tersebut setakat ini, beliau mendapati terdapat tiga isu utama yang sering dibangkitkan golongan muda.

Katanya, isu-isu tersebut ialah peluang pekerjaan yang terhad di Kelantan sehingga golongan belia terpaksa berhijrah ke luar dari negeri ini dan isu berkaitan perumahan khusus untuk belia yang tidak begitu diberi perhatian kerajaan negeri.

"Turut kerap disuarakan ialah hal-hal berkaitan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dikatakan gagal menjalankan tugas terutama aspek kebersihan dan penyelenggaran infrastruktur di sekitar Kota Bharu," katanya.

Siri Jelajah Orang Mudo Kongsi Raso disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Media UMNO Kota Bharu.-UTUSAN ONLINE