Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, Guan Eng perlu bertanggungjawab dengan kenyataan itu dan pihak berkuasa perlu segera menyiasat Setiausaha Agung DAP tersebut.

“Belum pernah dalam sejarah Malaysia, seorang ahli politik membuat kenyataan menghasut seperti Lim Guan Eng yang mengatakan kerjasama UMNO dan Pas sebagai 'pengisytiharan perang' antara kaum. Sokong atau tidak sokong kerjasama seumpama ini, itu adalah hak dan pilihan masing-masing.

“Sekiranya kenyataan ini keluar daripada mulut rakyat biasa, pasti mereka ditangkap oleh polis kerana menghasut tetapi sebagai seorang menteri Kabinet, sudah tentu Guan Eng terlepas daripadanya,” katanya dalam kenyataan melalui akaun Facebook miliknya di sini hari ini.

Portal Malaysiakini hari ini melaporkan kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama antara UMNO dan Pas sebagai satu 'pengisytiharan perang' ke atas masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di bawah panji penyatuan Melayu.

Walau bagaimanapun, Malaysiakini memaklumkan bahawa Guan Eng telah memperbetulkan kenyataannya itu dan frasa ‘pengisytiharan perang’ diubah kepada ‘menyasarkan’.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan pula menyifatkan Guan Eng sengaja mengeluarkan kenyataan sebegitu untuk memperoleh kelebihan politik.

Kata beliau, Guan Eng seolah-olah terlupa bahawa DAP sendiri pernah bekerjasama dengan Pas sebelum ini melalui Pakatan Rakyat (PR).

“Dia (memberi kenyataan) mengikut kesesuaian dan mengikut (arah) mana yang dia boleh dapat kelebihan politik,” katanya ketika dihubungi. - UTUSAN ONLINE