Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, alasan kononnya untuk memberikan kemudahan kepada wartawan yang bukan Melayu dan pegawai-pegawai berbangsa Cina sama sekali tidak boleh diterima di saat negara ini telah mencapai kemerdekaan hampir 60 tahun.

“Bukankah semua wartawan terutamanya wartawan tempatan mesti memahami dan menguasai bahasa Melayu dalam skop dan bidang tugas mereka. Jika tidak, masakan mereka boleh menjadi wartawan yang baik?

“Meraikan kepelbagaian dibenarkan namun tentulah sehingga tidak melibatkan urusan-urusan rasmi terutamanya membuat kenyataan rasmi yang maksudnya hanya difahami oleh golongan tertentu sahaja.

“Sedangkan kenyataan dalam Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan sudah cukup untuk difahami oleh semua orang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sirajuddin mempersoalkan apakah sebagai menteri dan pernah menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang sebelum ini, Guan Eng tidak tahu bahawa Akta Bahasa Kebangsaan jelas menyebut bahawa hanya Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi?

“Adakah beliau sengaja menguji sejauh mana kealpaan orang Melayu mengenai bahasa mereka sendiri. Kalau kali ini berjaya, bolehlah beliau ulangi lagi pada masa hadapan dan Bahasa Melayu akan semakin terpinggir,” katanya. - UTUSAN ONLINE