Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pada 2003 iaitu ketika bekas Perdana Menteri itu meletakkan jawatan, saiz ekonomi negara berjumlah RM418.7 bilion.

Katanya yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), berbanding ketika ini, saiz ekonomi negara telah meningkat sebanyak tiga kali ganda iaitu RM1.3 trilion.

“Jadi tiada apa yang perlu kita risaukan asalkan negara dapat menguruskan hutang dengan baik dan ekonomi berkembang. Malah bukan sahaja negara kita tidak pernah gagal membayar hutang setiap tahun tetapi hutang kita berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah di bawah 55 peratus.

“Pada 80-an di zaman Tun M, nisbah hutang kepada KDNK pernah mencapai tahap 100 peratus dan negara tidak bankrup,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Arau di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Ne­geri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Abdul Rahman seterusnya meminta rakyat agar tidak terus terpedaya dengan tohmahan dilemparkan pembangkang berhubung peningkatan hutang negara.

“Saya selalu kaitkan bahawa hutang orang miskin tidak sama dengan hutang orang kaya ke­rana mereka mempunyai aset (kemampuan),” ujar beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau turut menarik perhatian pembohongan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua di Dewan Rakyat pada 2010 bahawa kerajaan akan terpaksa mengambil tindakan menyelamat perniagaan dimiliki tokoh perniagaan negara terkenal, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary berikutan kadar hutangnya yang tinggi.

“Setelah tujuh tahun berlalu, tiada perkara buruk berlaku malah perniagaan Syed Mokhtar berkembang lebih baik,” katanya.