Beliau yang memegang jawatan tersebut sejak 2013 bakal melepasi had usia 40 tahun kelayakan sebagai Ketua Puteri pada tahun hadapan dan akan berhijrah ke platform perjuangan baharu.

Tentunya bukan mudah untuk Ahli Parlimen Masjid Tanah ini meninggalkan sayap UMNO tersebut setelah 17 tahun beliau menyumbangkan segala bakti dan pengorbanan.

Program demi program digerakkan oleh Mas Ermieyati saban tahun bagi memberi titik sentuhan UMNO dan Barisan Nasional meresapi golongan wanita muda.

Lautan merah jambu Puteri UMNO mungkin tampak lembut warnanya namun pengaruhnya sama sekali tidak boleh disangkal kerana turut digeruni parti-parti pembangkang.

Kini, dengan tirai hampir dilabuhkan, perjalanan karier Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan ini semestinya akan menjadi tumpuan pemerhati-pemerhati politik.

Berdasarkan jangkaan laluannya, Mas Ermieyati akan mengikuti jejak Ketua-ketua Puteri terdahulu memasuki Wanita UMNO dan membuka era baharu dalam wadah perjuangan.

Begitupun, dengan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 bakal menjelang tiba, perkara paling penting yang perlu difikirkan Mas Ermieyati ketika ini adalah apa legasi yang bakal ditinggalkannya kepada pergerakan tersebut.

UMNO melihat kepentingan parti adalah melebihi mana-mana individu atau puak-puak tertentu, dalam hal ini, Mas Ermieyati selaku Ketua Srikandi perlu memahatkan tekad untuk UMNO bukan sahaja mem­pertahankan kedudukannya malah menang besar dalam pilihan raya akan datang.

Dengan gendang pe­rang PRU-14 akan lebih kuat dipalukan, Mas Ermieyati perlu membuktikan bahawa legasi Puteri UMNO yang ditinggalkan­nya adalah se­buah sayap par­ti yang tidak ha­nya diyakini wanita muda seluruh negara ma­lah bila-bila masa sa­haja mampu me­nundukkan lawan.