Turut serta dalam perhimpunan aman itu ialah ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada Jaringan Ummah Prihatin serta ahli Pas Kepala Batas yang diketuai Yang Dipertuanya, Bukhori Ghazali.

Selain mendesak penubuhan RCI itu disegerakan, mereka juga mahu supaya dalang yang terlibat dalam isu tersebut dibawa ke muka pengadilan.

Jurucakap himpunan tersebut, Azmi Man berkata, walaupun isu Memali telah berlaku lebih 30 tahun lalu, namun pelbagai teka-teki berhubung tragedi tersebut masih belum terjawab sehingga ke hari ini.

"Kami difahamkan orang yang bertanggungjawab dalam peristiwa ini (Memali) diuar-uarkan bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

"Pada masa yang sama, mereka yang pernah memperjuangkan isu ini juga semakin senyap seolah-olah reda dengan tindakan Dr. Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad) dalam hal ini.

"Situasi ini secara tidak langsung menunjukkan mereka seperti ada agenda sendiri sama seperti Dr. Mahathir yang dilihat mempunyai agenda tersembunyi," katanya.

Dalam pada itu, Bukhori memberitahu, himpunan itu bukan dibuat atas desakan sesiapa melainkan bertujuan menuntut keadilan bagi pihak yang berkenaan.

"Isu ini sebenarnya bukan bermusim, tapi berterusan. Cumanya, sehingga kini masih belum ada sebarang penyelesaian berkaitan dibuat," ujarnya.

Selain isu Memali, mereka juga mendesak supaya insiden 'mata lebam' bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditahan kira-kira 20 tahun lalu dibuka semula. - UTUSAN ONLINE