Persoalan itu timbul apabila sumber memberitahu Utusan Malaysia bahawa SPR akan mengadakan mesyuarat khas esok yang diketuai oleh Pengerusinya, Azhar Azizan Harun dan disertai beberapa pegawai suruhanjaya itu sahaja bagi membincangkan mengenai PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd. Nor, 57, yang me­ninggal dunia Jumaat lalu akibat serangan jantung.

Isunya di sini adalah hanya Azhar seorang sahaja yang me­nganggotai senarai Ahli SPR, manakala lima lagi keanggotaan termasuklah jawatan Timbalan Pengerusi masih kosong dan belum diisi.

Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, berdasarkan Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, keanggotaan SPR perlu terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima anggota lain.

“Dalam hal ini, pakar Perlembagaan Persekutuan atau pejabat Peguam Negara perlu menghuraikan bagaimana untuk berkompromi dengan undang-undang tersebut supaya rakyat jelas kerana keputusan yang dibuat kelak boleh dipertikaikan jika bercanggah dengan Perkara 114.

“Ini suruhanjaya, bukan jabatan kerajaan yang diwakili oleh Ketua Pengarah sahaja. Penubuhan SPR dan peraturan pilihan raya jelas digariskan dalam Perlembagaan Perseku­tuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas Wan Ahmad, undang-undang lain yang perlu diperhalusi adalah Sesyen 12 (3) Akta Pilihan Raya 1958, iaitu SPR wajib mengadakan mesyuarat khas tidak lewat 10 hari selepas berlaku kekosongan luar jangka untuk tujuan menyerahkan writ pilihan raya kepada pegawai pengurus yang dilantik.

“Jadi esok akan putuskan semua pelantikan ini termasuk tarikh-tarikh berkaitan yang perlu dibuat oleh SPR. Tapi persoalannya adakah hanya pengerusi sahaja yang akan melantik dan membuat keputusan dalam mesyuarat khas itu,” tegas beliau.

Tambah beliau, kekalutan tersebut berlaku kerana desakan pelbagai pihak supaya ahli-ahli SPR letak jawatan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sepatutnya kalau nak desak letak jawatan pun bukanlah sekali gus, memang kematian ini kuasa Allah tapi kita kenalah baca segala kemungkinan yang bakal berlaku. Inilah dugaan Rule of Law,” katanya.

Pada 23 Mei lalu, Bersih 2.0 meminta Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad segera memecat tujuh pesuruhjaya SPR kerana didakwa kehilangan kepercayaan awam dan bersubahat dalam salah laku sewaktu PRU14.

Pemangku Pengerusinya, Shahrul Aman Mohd Saari mendakwa, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah dan Timbalannya, Tan Sri Othman Mahmood serta lima lagi ahli SPR tanpa segan silu masih memegang jawatan dan enggan meletak jawatan serta bertanggungjawab.  - UTUSAN ONLINE