Menurut beliau, lawatan Wan Azizah itu semata-mata atas kapasiti sebagai Timbalan Perdana Menteri yang ingin bertemu rakyat di kawasan pedalaman negeri ini.

Katanya, hal ini kerana sejak Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Wan Azizah dilantik sebagai timbalan perdana menteri, beliau belum pernah melakukan lawatan kerja ke Sarawak.

“Memang kedatangan Wan Azizah mendapat sambutan rakyat Julau apabila lebih 2,000 orang menyambutnya.

“Kehadiran rakyat yang ramai ini adalah didorong rasa teruja mereka mahu bertemu Timbalan Perdana Menteri buat pertama kali dan tiada kaitan dengan pemilihan PKR pada Sabtu ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Larry enggan mengulas apabila ditanya tentang dakwaan Timbalan Pre­siden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bahawa beliau menjadi kingmaker dalam pemilihan parti kali ini, ekoran keahlian PKR Cabang Julau adalah terbesar di Sarawak ketika ini.

Namun, ka­ta Larry, beliau mempunyai keyakinan tinggi Rafizi mampu mengalahkan Mohamed Azmin dalam pemilihan di Sarawak berdasarkan sokongan ditunjukkan oleh ahli-ahli PKR terutama di Julau.