AHMAD RAZIF

Ini digambarkan dengan kehangatan ‘politiking’ seakan-akan tiada penghujungnya, dise­lubungi pu­la suasana ekonomi yang agak muram yang menyusutkan hasil ne­geri, di samping memuncaknya ledakan media sosial memberikan tekanan dalam menguruskan per­­sepsi.

Dengan kepemimpinan men­cecah tahun ketiga yang sudah cukup teruji, beliau mengajak rak­yat untuk terus bersama me­langkah ke hadapan dengan cu­kup yakin dalam menongkah cabaran bagi terus memacu usaha ke arah meningkatkan kesejahte­raan secara bersama.

Tahun ini, kerajaan negeri menetapkan fokus kepada aspek yang akan memberi kesan secara langsung iaitu bagi membantu meringankan beban rakyat ekoran kenaikan kos sara hidup selain meningkatkan pendapatan, dan peluang pekerjaan, di samping memenuhi keperluan perumahan.

Komitmen kepemimpinannya itu ternyata dipermudahkan lagi dengan perhatian yang diberikan oleh kerajaan Pusat untuk memulakan dan memperderaskan segala pe­rancangan, apatah lagi melibatkan peruntukan yang cukup besar.

“Soal kesejahteraan rakyat sememangnya menjadi intipati dalam manifesto kerajaan Brisan Nasional negeri dalam pilihan raya umum lalu dan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mulai Sabtu ini (hari ini) adalah bagi melunaskan segala yang dijanjikan,” ujar Ahmad Razif ketika ditemui semalam.

Lawatan kerja Perdana Menteri selama dua hari ke negeri ini melibatkan tiga daerah iaitu Kuala Nerus, Besut dan Dungun dengan program yang memberi fokus kepada tiga aspek yang diberikan penekanan sepanjang tahun ini dilihat bakal memberi impak yang besar.

Pada petang hari pertama, Najib akan menyempurnakan majlis Pecah Tanah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Nanas Tepoh melibatkan pembinaan 500 unit rumah yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Projek perumahan di bawah Kementerian Kesejahteraan Ban­dar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini juga bakal menjadi katalis yang merancakkan perkembangan Bandar Baharu Kuala Nerus yang sedang diba­ngunkan.

“Projek ini menempatkan enam blok bangunan bertingkat bagi golongan berpendapatan rendah. Setiap unit bernilai RM160,000 namun akan dijual hanya dengan harga RM35,000 apabila kerajaan memberikan subsidi sebanyak RM85,000.

“Ini merupakan sebahagian daripada beberapa skim yang sedang diusahakan tahun bagi memenuhi keperluan di seluruh negeri dan kita menyasarkan 10,000 unit dapat dibangunkan termasuk empat lagi PPR di empat daerah.

“Ini juga akan menjadi sebahagian daripada cerita kejayaan nege­ri dari setahun ke setahun,” katanya.

Selain itu Perdana Menteri akan melancarkan Program Jelajah Pendidikan Bumiputera pe­ringkat Parlimen Kuala Nerus, program aspirasi beliau yang disasarkan di 54 loksi seluruh negara bagi mencari dan membantu pelajar yang tercicir ke universiti atau kolej kemahiran agar berpeluang melanjutkan pelajaran.

Pada hari kedua (Ahad), di se­belah pagi, Perdana Menteri akan menghadiri majlis Pecah Tanah Pemuliharaan Muara Sungai Besut yang dikenali sebagai Gerbang Pelancongan Terengganu di Kuala Besut.

Projek melibatkan kos lebih RM250 juta, suatu pelaburan yang dianggap setimpal kerana bukan sahaja mengakhiri masalah berulang yang dihadapi nelayan dan pengusaha bot pelancong sejak beberapa dekad lalu, apabila muara kembali cetek.

Malah ia menjanjikan masa depan yang cukup hebat bagi Kuala Besut kerana projek itu bakal membuka peluang menjadikan kawasan tersebut sebagai gerbang pelancongan antarabangsa dengan tarikan pelaburan melalui pembangunan terancang.

Projek itu mampu memberi nilai baharu kepada Kuala Besut terutama dalam sektor pelancongan dengan kedudukan sebagai pintu masuk ke Pulau Perhentian, salah sebuah pulau dalam kelompok tercantik di dunia.

Pada sebelah petang pula, Perdana Menteri akan melancarkan program Jom Bantu Rakyat pe­ringkat negeri di Santong, Du­ngun yang mengukuhkan komitmen dalam membela nasib rakyat di samping melancarkan Perumahan Idaman Rakyat (SPMB) melibatkan pembinaan 500 unit kediaman.

Jom Bantu Rakyat merupakan satu gerak bersepadu turun padang oleh semua pihak bagi memastikan rakyat yang berhak, walau di mana mereka berada agar tidak tercicir daripada mendapat bantuan melalui pelbagai program dan skim yang diwujudkan oleh kerajaan pimpinan BN.