BUDIMAN MOHD. ZOHDI

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi (gambar) berkata, lawatan Mohamed Azmin ke China tidak mungkin berlaku jika tiadanya usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Kerajaan Persekutuan selama ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri telah menggerakkan pelbagai usaha membawa masuk pelaburan dari China sama ada melalui kerajaan kepada kerajaan (G2G), perniagaan kepada perniagaan (B2B) mahupun rakyat kepada rakyat (P2P).

“Hasilnya, jumlah pelaburan China ke Malaysia mencecah lebih RM30 bilion. Usaha Kerajaan Persekutuan ini juga memungkinkan syarikat terkenal dari China iaitu Ali Baba Group membuka hab pengedarannya di Sepang.

“Namun, kejayaan Perdana Menteri membawa sejumlah pelaburan yang besar ini dijadikan modal politik apabila pembangkang mendakwa Kerajaan Persekutuan sedang menjual negara kepada China,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.