DI PULAU PINANG, larian bendera di negeri itu disifatkan sebagai isyarat parti serius untuk menawan kembali beberapa kerusi parlimen yang kini dikuasai pembangkang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sudah tiba masa kerusi Parlimen Nibong Tebal dan Permatang Pauh dikembalikan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) selain mengekalkan kerusi Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau.

Menurutnya, larian membawa panji Sang Saka Bangsa itu membuktikan kekuatan dan keazaman tinggi UMNO untuk terus kekal relevan di negeri tersebut serta mendapat sokongan rakyat.

Bendera itu diarak dari Kedah yang diketuai Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dengan kira-kira 1,000 ahli UMNO dari Pulau Pinang dan Kedah menyertai sambutan itu tiba tepat di atas Jambatan Merdeka dari Sungai Petani pada pukul 5.30 petang.

Sementara itu di MELAKA, sebahagian besar daripada lebih 1,000 peserta Larian Bendera UMNO di negeri itu menyatakan rasa bangga dan bertuah mereka dapat melibatkan diri dalam aktiviti tersebut.

Aktiviti larian bermula dari Sungai Rambai pada pukul 8 pagi melibatkan Pemuda UMNO negeri, Majlis Gabu­ngan Belia Melaka (MGBM), anggota tentera serta mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jasin dan Bandaraya.

Di SABAH, hujan lebat di sekitar Sepanggar dan bandar raya Kota Kinabalu tidak mematahkan semangat kira-kira 500 ahli untuk menyertai konvoi penyerahan Larian Bendera UMNO dengan semangat pejuang jelas terpancar di wajah para peserta yang terdiri daripada Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Terdahulu, Larian Bendera UMNO dimulakan dari Bahagian Sipitang ke Bahagian Beaufort sebelum disambut kira-kira 500 ahli UMNO Bahagian Kimanis dan peserta kemudian meneruskan Larian Bendera ke Bahagian Papar sebelum berakhir di Bahagian Putatan dan menunaikan solat Jumaat.

Larian Bendera itu kemudian dite­ruskan ke Bahagian Penampang sebelum tiba di bahagian terakhir iaitu Bahagian Kota Kinabalu dengan konvoi larian dilakukan di UiTM sekali gus penyerahan bendera parti keramat Melayu itu oleh Naib Ketua Bahagian UMNO Kota Kinabalu, Datuk Fatimah Shara Ahmad Noor kepada Timbalan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

Di KUALA TERENGGANU, Larian Bendera UMNO tiba di pekarangan Ba­ngunan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di sini petang ini memperlihatkan semangat serta komitmen seluruh kepe­mimpinan dan ahli parti untuk sama-sama mempertahankan parti keramat itu daripada terus dicemuh dan dihina.

Kira-kira 50 ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus menyertai larian sejauh kira-kira 14 kilometer yang turut disertai Naib Ketua UMNO bahagian berkenaan, Apli Yusoff.

Sebelum itu, konvoi serta larian penyerahan Sang Saka Bangsa itu tiba di Hulu Terengganu dari Setiu yang kemudiannya diarak ke Dataran Austin, Kuala Nerus dan seterusnya tiba kira-kira pukul 6.30 petang di Gong Kapas di sini.