Sekadar mengulangi janji-janji lama yang masih gagal ditepati dan pada masa sama, menawarkan omong-omong kosong yang bersifat populis tetapi berkemungkinan besar tidak dapat dilaksanakan sekiranya mereka diberi mandat membentuk kerajaan.

Menghapuskan jalan bertol, menyediakan perumahan mampu milik serta pendidikan percuma di universiti awam merupakan antara janji-janji yang digula-gulakan oleh pakatan dianggotai DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu.

Walhal, semua perkara itu tidak dilaksanakan di negeri-negeri yang berada di bawah cengkaman mereka iaitu Pulau Pinang dan Selangor.

Belum pun reda kemarahan rakyat Selangor berhubung isu pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex), kerajaan PKR Selangor sekali lagi mencetuskan kontroversi dengan cadangan pembinaan Lebuh Raya Damansara-Shah Alam (Dash).

Agak ironi bila Pakatan Harapan berhasrat memansuhkan kutipan tol di semua lebuh raya di negara ini sedangkan kerajaan PKR Selangor merancang untuk membina lebuh raya baharu.

Selain itu, pendidikan tinggi yang ditawarkan Universiti Selangor (Unisel) yang dimiliki kerajaan PKR Selangor tidak diberikan secara percuma.

Contohnya, pelajar tempatan yang mengikuti jurusan Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Kepujian) perlu membayar yuran sebanyak RM54,220 sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun.

Bukankah lebih baik sekiranya kerajaan PKR Selangor melaksanakan dasar pendidikan percuma di Unisel terlebih dahulu bagi membuktikan Pakatan Harapan benar-benar bersedia untuk memansuhkan yuran pengajian di semua universiti awam?

Berhubung perumahan mampu milik pula, setakat ini, kebanyakan projek perumahan baharu di Selangor dan Pulau Pinang menjual unit-unit kediaman pada harga yang hanya ‘mampu ditengok’ oleh rakyat berpendapatan rendah.

Perumahan kos rendah dan sederhana sedia ada di dua negeri berkenaan merupakan buah tangan kerajaan Persekutuan serta kerajaan negeri terdahulu yang ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional.

Rumah kos rendah di Pulau Pinang pula dijual pada harga RM42,000 seunit, lebih tinggi daripada harga RM35,000 seunit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Berdasarkan perbandingan harga rumah kos rendah itu, dapat dilihat dengan jelas apa yang diberikan oleh kerajaan BN adalah jauh lebih baik daripada kerajaan DAP Pulau Pinang.

Secara keseluruhan, bajet alternatif yang ditawarkan Pakatan Harapan diketuai DAP banyak mengetengahkan janji-janji yang kelihatan tinggi menggunung walaupun pada hakikatnya sukar dicapai oleh tangan mereka sendiri.