Naib Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, laporan secara besar-besaran itu dilakukan sebagai tekanan kepada kerajaan supaya isu dana asing kepada DAP yang sudah lama tersebar dalam media tidak dibiarkan tanpa tindakan.

Beliau berkata, jika Pas boleh disiasat atas dakwaan mene­rima dana RM90 juta maka tiada alasan yang sepatutnya menghalang siasatan sama dilakukan terhadap DAP.

“(Pelbagai) dakwaan bahawa DAP menerima dana asing telah tular dalam media sejak beberapa tahun ini tetapi kita lihat tiada tindakan tuntas pihak berkuasa untuk menyiasat.

“DAP adalah sebahagian daripada tulang (belakang) pentadbiran kerajaan hari ini jadi kita mahu supaya akaun DAP disiasat oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya dibuktikan mereka tidak menerima dana asing sebagaimana didakwa,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas negeri ditemui selepas laporan polis dibuat oleh ahli Pemuda Pas negeri, Mohd. Suhaizi Kadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, laporan polis yang sama turut dilakukan oleh kesemua wakil Dewan Pemuda Pas negeri masing-ma­sing bermula pukul 10.00 pagi ini.

Sementara itu, Ahmad Fadh­li berkata, antara dakwaan yang serius sebelum ini adalah pendedahan bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Razali Abdul Rahman kononnya DAP mengambil wang sebanyak RM300 juta dari Israel.

“Sehingga sekarang DAP tidak menyaman individu ini dan menunjukkan seolah-olah ini dakwaan itu betul. Jika DAP terima dana dari Israel dan Yahudi maka kita boleh buat kesimpulan DAP bergerak mengikut telunjuk Israel dan Yahudi,” katanya.