Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ada usaha telah dilakukan oleh pihak tidak bertanggung jawab menghubungi pengundi BN meminta mereka mengundi parti pembangkang itu dalam PRK pada 13 April ini.

“Mereka dijanjikan dengan bayaran wang tunai jika berbuat demikian. Saya minta mereka ini segera membuat laporan polis supaya tindakan dapat diambil terhadap pihak yang bertanggung jawab ini.

“BN atau UMNO tidak pernah menjanjikan ganjaran tunai kepada pengundinya. Kita tidak pernah memancing undi dengan cara seperti ini,” katanya dalam sidang akhbar di Rantau dekat sini hari ini.

Menurutnya, beliau telah dihubungi oleh kira-kira enam individu yang mendakwa menerima panggilan telefon seperti itu sejak tiga hari lalu.

Katanya, beliau percaya taktik kotor seperti itu digunakan untuk memburuk-burukkan BN kononnya pengundi dijanjikan dengan ganjaran tertentu.

“Saya hendak tegaskan di sini bahawa BN tidak buat seperti apa yang didakwa itu.

“Saya juga minta setiap laporan polis yang dibuat oleh orang ramai disiasat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pihak yang menguatkuasakan undang-undang pilihan raya,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE