Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, walaupun sering melaungkan janji berkenaan, masih ramai pemimpin dan ahli dari parti komponen PH yang dilantik mengetuai GLC, jabatan kerajaan serta kedutaan Malaysia ke luar negara.

“Akankah lantikan politik DAP seperti Wong Tack, Tan Kok Wai dan Hew Kuan Yau yang mempunyai kaitan dengan DAP akan mengosongkan jawatan yang diterima seperti saranan Perdana Menteri?” soalnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam Janji 22 Buku Harapan, PH telah berjanji untuk memastikan pelantikan ahli lembaga pengarah ke dalam GLC nasional dan negeri adalah dari kalangan profesional dan bukan berdasarkan kaitan politik mereka.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula dalam jawapannya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri dalam Sidang Dewan Rakyat minggu lalu memberitahu, kerajaan akan menambah baik takrifan ‘ahli politik’ yang didapati tidak sesuai dilantik sebagai pengerusi atau ahli lembaga pengarah GLC.

Sehubungan itu, Dominic mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu undang-undang bagi melarang sebarang lantikan politik dalam GLC supaya kerajaan dapat memastikan perkara tersebut tidak akan berulang lagi.

“Sebelum ini mereka memberikan segala jenis alasan tentang lantikan politik yang dilakukan dan membuat pengecualian untuk diri mereka sendiri, namun satu undang-undang menghentikan lantikan politik pada semua peringkat akan memastikan amalan naungan politik akan dihentikan secara berkesan.

“PH kini adalah kerajaan, mereka tiada alasan untuk tidak melaksanakannya,” katanya. - UTUSAN ONLINE