Timbalan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr. Afif Bahardin berkata, difahamkan setakat ini Presiden masih belum memutuskan lantikan baharu bagi menggantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang melepaskan jawatan tersebut.


“Setakat ini masih belum ada lantikan baharu, sebelum ini difahamkan dalam kalangan Ketua Cabang ada mencadangkan (nama Pengerusi MPN) kepada Presiden.


“Pada saya sekarang ini amat perlu untuk Presiden membuat keputusan segera kerana Pulau Pinang adalah negeri yang penting, banyak isu melibatkan perjalanan kerajaan malah pemimpin negeri juga memerlukan pandangan daripada parti,” katanya.


Beliau ditemui pemberita selepas melakukan operasi pelaksanaan tempat makan sebagai kawasan larangan merokok di sini hari ini.


Pada 16 Disember lalu, PKR mengumumkan Naib Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar, dilantik sebagai Pengerusi Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang.


Bagaimanapun, Nurul Izzah mengejutkan para penyokongnya apabila mengumumkan perletakan jawatan Naib Presiden PKR dan melepaskan jawatan Pengerusi MPN negeri ini pada 17 Disember. - UTUSAN ONLINE