Pemilihan Mohd. Khairuddin itu sememangnya dijangka kerana beliau dilihat penyokong kuat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, biar pun ketika masih dalam Pas lagi dan ia terbukti apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sendiri sanggup turun padang ketika Mohd. Khairuddin mengumumkan keluar Pas untuk menyertai PKR.

Malah, Mohamed Azmin sendiri ketika itu sanggup bertegang leher bagi memastikan Paya Jaras ditandingi Mohd. Khairuddin, walaupun Parti Amanah menuntut kerusi tersebut dan PKR kawasan berkenaan sendiri mengugut mahu memberontak.

Sesudah menang, 'dijulang' pula Mohd. Khairuddin sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang tentu sekali memperlihatkan betapa 'istimewa' beliau di mata Mohamed Azmin dan tentu sekali jawatan tersebut tidak diberikan kosong tanpa tuntutan kesetiaan.

Kini sah kekosongan jawatan Exco itu milik Mohd. Khairuddin dan nama ADUN Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni walaupun disebut-sebut sebelum ini, jauh panggang daripada api disebabkan beliau bukan dari kem Mohamed Azmin mahupun Amirudin.

Nama Mohd. Zawawi sebagai calon PKR bagi DUN Sungai Kandis diputuskan oleh kem 'Segambut', kerana Amirudin mencadangkan individu lain dan begitu juga dengan nasib ADUN Ijok, Dr. Idris Ahmad, yang cuba mencabar 'perancangan' Mohamed Azmin, apabila beliau terus-menerus 'dipinggirkan'.

Bagi Amirudin, tentunya pemilihan Exco kali ini mahu digunakannya dengan sebaik mungkin dalam usahanya memperkukuh pengaruh dan kedudukannya dalam pentas politik negeri, sebagai lonjatan untuk beliau mencari tapak yang lebih kuat di peringkat PKR Pusat.

Namun, apa yang pasti, di sebalik usahanya itu, pemilihan Mohd. Khairuddin juga menyebabkan Amirudin kekal dibayangi dengan imej 'budak Azmin' walaupun beliau mungkin berusaha sedikit demi sedikit untuk mengikisnya. - UTUSAN ONLINE