Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu patutnya memiliki kelebihan di kawasan yang pernah diwakilinya selama ini namun kenapakah kepercayaan tersebut tidak diberikan kepada pengundi Kubang Pasu untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)?

Dapat juga dibuat penilaian bahawa Dr. Mahathir dikenali tidak hanya di seluruh negara, malah di seluruh dunia sebagai arkitek pembangunan Putrajaya, pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Sekiranya jasa beliau terlalu besar kepada penjawat awam serta melihat kepada betapa modennya pembangunan, kenapakah beliau tidak bertanding di kawasan Parlimen Putrajaya agar bersamaan dengan tema kononnya hendak menyelamatkan negara?

Sekian lama berteka-teki mengenai kawasan pilihan, Mahathir memutuskan Parlimen Langkawi sebagai lokasi beliau bertanding untuk PRU-14 iaitu pulau peranginan yang mana beliau hendak ‘bernostalgia’ dengan para penduduk.

Pemilihan Langkawi akhirnya menjawab persoalan yang ditimbulkan para pengkritik yang mana Dr. Mahathir tidak seberani mana pun dan hanya memilih kawasan yang berkemungkinan dapat memberi survival politik kepada dirinya.

Di atas kertas, Dr. Mahathir sepatutnya memilih Kubang Pasu dan Putrajaya selalu bekas wakil rakyat dan pemimpin besar negara namun beliau sendiri tidak yakin dengan kemampuannya untuk meraih sokongan akar umbi masyarakat di kawasan berkenaan.

Umpama DAP yang pemimpin-pemimpinnya sentiasa berkelana mencari tempat baharu, Dr. Mahathir juga menghadapi masalah keyakinan diri yang sama dan terpaksa mengikut juga cara ‘nomad’ yang dilakukan parti berkenaan.

Perhitungan Dr. Mahathir adalah beliau hendak sekali lagi menjadi Perdana Menteri pada usia 93 tahun tetapi nasib penduduk Langkawi yang diperalatkan untuk memenuhi dendam peribadi miliknya. - UTUSAN ONLINE