Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, percaturan dilakukan gabungan pembangkang PKR itu nyata ‘sumbang’ ketika Mahathir dilihat seolah-olah melarikan diri dari rakyat di Kubang Pasu yang dilihat banyak berjasa kepadanya sehingga membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

“Rakyat Langkawi perlu berhati-hati dengan ‘orang’ ini. Banyak persoalan yang timbul mengapa beliau tidak berani kembali bertanding di Kubang Pasu iaitu kawasan yang terlalu lama diwakilinya sebelum ini.

“Kalau atas alasan ‘nostalgia’, sepatutnya nostalgia Mahathir ada lebih banyak di Kubang Pasu kerana di situlah tempatnya beliau mewakili rakyat. Pembangunan yang dilakukan di Langkawi pula hanya dapat dilaksanakan kerana undi rakyat Kubang Pasu yang membantunya menang menjadi Ahli Parlimen seterusnya diangkat menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Semarak Perpaduan Zon Utara di Dewan Seri Mentaloon di sini hari ini.