Antara contoh yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman adalah kehadiran menteri Kabinet atas kapasiti pemimpin kerajaan serta pe­nganjuran majlis makan secara percuma.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, menteri sepatutnya hadir atas kapasiti pemimpin politik dan tidak mengumumkan apa-apa pemberian yang mewakili kerajaan.

“Tetapi, ini semua tidak ada dalam undang-undang pilihan raya sedia ada dan aduan polis perlu dibuat oleh mana-mana pihak yang tidak berpuas hati.

“Ia tidak berlaku secara berleluasa seperti kerajaan sebelum ini kerana saya telah bertanya kepada ramai pihak di sini dan mereka kata tidak berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Ab. Rashid menambah, pi­­haknya maklum tentang keka­ngan yang dihadapi SPR dari segi kuasa untuk menyiasat perlanggaran peraturan pilihan raya seperti dakwaan menyalahgunakan kemudahan kerajaan serta pemberian hadiah kepada pengundi.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan tentang cadangan ERC agar rakyat dilibatkan dalam proses melantik Pengerusi SPR pada masa akan datang.

“Pemilihan Pengerusi SPR itu mungkin bukan melalui proses seperti pilihan raya, tetapi kita ada cara tertentu yang mana rakyat boleh mengambil bahagian,” kata­nya.