PROF. MADYA DR. JENERI AMIR
PROF. MADYA DR. JENERI AMIR 

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Jeniri Amir berkata, ini kerana Bersatu itu sendiri dilihat sebagai satu jelmaan UMNO yang dipimpin oleh bekas pemimpin UMNO iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Orang ramai akan nilai apa yang Tun Dr. Mahathir Mohamad buat suatu ketika dahulu di Sawarak. Jadi pelbagai persoalan timbul dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Dan sekiranya Bersatu ingin bertanding, ia (Bersatu) tetap akan berhadapan dengan masalah. Bersatu akan dapatkan kerusi daripada parti mana? Saya tidak fikir DAP adalah tempat sesuai. Amanah juga hanya tujuh kerusi dan bagi saya kemungkinan besar Bersatu akan ambil kerusi daripada PKR. Dalam hal ini, kemungkinan PKR hanya akan beri kerusi yang mempunyai potensi kemenangan yang tipis,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Akhbar pada 1 Disember melaporkan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melancarkan parti Bersatu Sarawak di Dewan Suarah Bintulu.

Semasa pelancaran tersebut, Tun Dr. Mahathir Mohamad kagum dengan kehadiran orang ramai sekali gus menyifatkan bahawa rakyat Sarawak menyambut baik parti tersebut untuk melebarkan sayap Bersatu ke negeri itu.

Tambah Jeniri, beliau sendiri menjangkakan Bersatu juga bakal berdepan dengan konflik politik PKR dalam tempoh pengagihan kerusi sebelum menjelangnya Pilihan Raya negeri Sarawak.

“Saya fikir PKR sendiri akan “bermain” politik dengan Bersatu kerana bukan mudah untuk PKR serahkan kerusi sedangkan PKR sudah lama berjuang di Sarawak.

“Lebih-lebih lagi pada waktu itu nanti Perdana Menteri sendiri sudah berundur dan tidak lagi menjadi PM kerana musim Pilihan Raya negeri Sarawak masih berbaki dua tahun setengah. Dan lebih getir sekiranya Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri berada di atas nanti kerana pastinya beliau mahu perkukuhkan partinya sendiri,” jelasnya. 

PROF. MADYA DR. MOHD. IZANI MOHD. ZAIN
PROF. MADYA DR. MOHD. IZANI MOHD. ZAIN 

Sementara itu, Penganalisis politik di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, Bersatu perlu mendapatkan sokongan masyarakat dan pemimpin tempatan bagi pengukuhan parti khususnya dalam politik Sarawak.

“Bersatu memerlukan sokongan masyarakat tempatan dan perlu ada pemimpin tempatan yang boleh menggerakkan ahli parti sekali gus tidak mengharapkan pengaruh Tun Dr. Mahathir Mohamad atau Tan Sri Muhyiddin Yassin sahaja,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE