Bunyi cakap Naib Presiden PKR itu macam gagah kerana Rafizi bukan sahaja mengingatkan Abdul Rahman supaya segera menyamannya malah menyindir Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu supaya tidak melakukan gimik politik dengan ancaman saman itu.

Tetapi Rafizi lupa, tindakan Abdul Rahman bukan boleh dibuat mengikut selera orang politik seperti mana beliau dengan semberono menuduh kontrak penganjuran Ekspo Negaraku 2017 diberikan kepada abang Ahli Parlimen Kota Belud itu - tuduhan hanya kerana kebetulan keduanya berbinkan Dahlan.

Apa yang dikatakan Abdul Rahman 11 Disember lalu untuk menyaman Rafizi perlu disusuli dengan tindakan berasaskan undang-undang. Berdasar perundangan, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu berhak memfailkan saman dalam tempoh enam tahun, bermula dari tarikh tuduhan Rafizi, juga pada 11 Disember lalu.

Ini terkandung dalam Akta Had Masa 1953 yang menjadi rujukan peguam Abdul Rahman. Di bawah undang-undang itu, klausa tindakan bagi kebanyakan tuntutan sivil adalah enam tahun termasuk kes saman fitnah.

Jadi, kelmarin baru tiga ming­gu. Ada lagi lima tahun 11 bulan untuk saman ke atas Rafizi difailkan oleh peguam Abdul Rahman. Tetapi pastinya Rafizi tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapat saman itu.

Ini kerana proses tersebut te­lah bermula dengan pengeluaran surat tuntutan penarikan balik tuduhan dan permohonan maaf oleh peguam Abdul Rahman. Kata pakar perundangan, Datuk Salleh Buang, itulah sewajarnya bagi membersihkan reputasi yang terjejas.

Bagi Salleh yang pernah menulis buku mengenai undang-undang fitnah di Malaysia, perbicaraan bukanlah bermakna penyelesaian terbaik kerana yang penting permohonan maaf dan penarikan balik daripada pihak yang membuat tuduhan.

Tetapi jika yang menuduh masih berdegil, maka ia harus dipanjangkan ke mahkamah untuk keadilan. Dalam kes Rafizi ini, Salleh hanya ketawa kecil ketika diminta mengulas dan kata bekas ahli akademik itu:

“Saya kira itu (Rafizi) cakap politik. Tidak ada makna dari segi undang-undang. Cepat atau sebaliknya, bergantung peguam yang perlu mengkaji keseluruhan situa­si. Tapi saya percaya Rafizi akan ada pilihan untuk meminta maaf dan menarik balik tuduhan.”