NOR HALMEY HAMDAH
NOR HALMEY HAMDAH 

Nor Halmey Hamdah berkata, Moorthy perlu melepaskan jawatannya dalam kerajaan kerana tuduhan yang dilemparkan bertentangan dengan prinsip yang harus dipegang beliau sebagai individu ditugaskan menjaga perpaduan dan kesejahteraan sosial negara.

Nor Halmey turut menempelak Moorthy untuk tidak memperkudakan kaum India di Malaysia dengan menggunapakai modal bahawa kaum itu tertindas sejak sekian lama demi mencapai matlamat niat jahat beliau yang didakwa mahu menghapuskan kedudukan istimewa orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

“Beliau telah menuduh dan mengkritik kerajaan Malaysia secara umum tanpa menyebut secara spesifik mana-mana pihak, baik parti atau individu dalam kerajaan bahawa mereka berlaku zalim dan menindas hak kaum serta penganut agama lain. Jadi timbul persoalan akan keperluan beliau untuk berada dalam barisan kerajaan.

“Secara prinsipnya, beliau harus keluar dari barisan pimpinan kerajaan bagi mengiyakan fitnah jahatnya itu. Apa yang dinyatakan di dalam video itu juga secara jelas menunjukkan bahawa beliau menipu dan mahu menggugat keamanan yang telah lama wujud di negara ini.

“ Moorthy juga secara tidak langsung telah mempertikaikan perkara-perkara asas yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan selain mempersoal kontrak sosial yang sudah dipersetujui sejak sekian lama antara kaum-kaum di Malaysia dalam kerangka asas pembentukan negara termasuk soal hak istimewa orang Melayu dan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, video lama Moorthy tular di media sosial dengan kandungan memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.

Menurut Moorthy, wawancara beliau dengan stesen televisyen di Belanda 10 tahun lalu yang tular ketika ini dibuat selepas demonstrasi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) pada November 2007, di mana ketika itu beratus-ratus penunjuk perasaan ditangkap malah beliau sendiri turut ditangkap dan mendakwa telah diseksa.

Selepas menerima kecaman pelbagai pihak kerana didakwa melakukan pembohongan besar di luar negara untuk memburukkan kerajaan Malaysia, Moorthy dalam kenyataannya semalam menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO kerana dasar-dasar yang dibuat menghalang kaum India untuk berada dalam arus perdana pembangunan negara. – UTUSAN ONLINE