Ketua Pemuda PPBM Bahagian Klang, Mohd. Kairol Faizal Mohd. Nordin serta Ketua Srikandi PPBM Bahagian Klang, Juliana Mansor juga sependapat bahawa kepe­mimpinan tertinggi parti berkenaan perlu berhenti me­nyalahkan ROS kerana kegagalan mematuhi perlembagaan parti adalah berpunca daripada parti itu sendiri.

Menurut Mohd. Kairol, perhimpunan agung pertama PPBM pada akhir tahun lalu bercanggah dengan perlembagaan parti kerana dibuat tanpa perwakilan pe­ringkat bahagian serta cawangan yang dipilih melalui mesyuarat di kawasan masing-masing.

“Kami telah periksa perlembagaan parti dan kami rasa telah dipermain-mainkan, (Pengerusi PPBM) Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak layak menerajui PPBM kerana Tun Dr. Mahathir sendiri yang buat Perlembagaan tetapi beliau sendiri tidak mengikut Perlembagaan itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat aduan di Ibu pejabat ROS di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Perhimpunan agung pertama PPBM di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, Selangor pada 30 Disember lalu diselubungi kontroversi dengan ramai pimpinan akar umbi parti itu membuat laporan kepada ROS berhubung kegagalan pimpinan tertingginya mematuhi Perlembagaan parti berkenaan.

Mohd. Kairol menambah, Dr. Mahathir sepatutnya memberi laluan kepada Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk benar-benar menerajui parti itu serta Pakatan Harapan yang diketuai DAP.

“Tun Dr. Mahathir patut memberi laluan kepada orang muda, tidak semestinya sudah 22 tahun mentadbir itu sudah hebat, orang lain mungkin lagi hebat,” kata­nya.

Sementara itu, dakwa Juliana, pihaknya membuat aduan kepada ROS kerana elemen pelanggaran perlembagaan dalam perhimpunan agung parti itu benar-benar berlaku.

Tegasnya lagi, tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk me­nyalahkan ROS yang hanya menjalankan tanggungjawab bagi menyiasat aduan-aduan akar umbi parti.