Pengerusi Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Aseh Che Mat berkata, langkah tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada kakitangan awam yang terlibat kerana terpaksa berhenti atau bersara awal malah akan menjejaskan mutu perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Beliau berkata, semua pihak perlu sedar gabungan pembangkang PKR boleh bertindak sedemikian jika dipilih menjadi kerajaan, bagaimanapun tetap tertakluk kepada peraturan dan syarat yang telah ditetapkan.

“Inilah keadaan yang berlaku sekiranya saiz perkhidmatan kerajaan dikecilkan di negara ini. Pertama, ramai kakitangan awam akan diberhentikan atau pencen awal.

“Kedua, perkhidmatan kerajaan benar-benar terjejas. Apatah lagi dengan jumlah penduduk Malaysia yang semakin meningkat dari setahun ke setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program beramah mesra pesara kerajaan bersama calon-calon Barisan Nasional (BN) di Kompleks Belia dan Sukan di sini hari ini.

Antara calon BN bagi Parlimen Seremban yang hadir pada hari ini ialah Datuk Chong Sin Woon (Parlimen Seremban); Mazalan Maarop (DUN Lenggeng); Syamsul Amri Ismail (DUN Sikamat) dan Datuk Abu Ubaidah Redza (DUN Ampangan).

Penang Institute sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa negara ini hanya memerlukan sebanyak 430,000 penjawat awam berbanding 1.6 juta jumlah sedia ada ketika ini.

Malah, Penang Institute juga membandingkan dengan negara jiran, Singapura yang cuma memiliki 1.4 peratus penjawat awam daripada penduduk negara berkenaan sambil mempersoalkan negara ini mempunyai 5.5 peratus penjawat awam daripada jumlah penduduk.

Sehubungan itu Aseh meminta rakyat terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada demi memastikan tiada kakitangan kerajaan yang menjadi mangsa, pada masa sama operasi perkhidmatan awam di negara ini tidak tergendala.

“Tidak dapat saya bayangkan betapa ramai kakitangan awam akan diberhentikan atau bersara awal jika mereka melaksanakan polisi ini dan apa yang akan berlaku terhadap negara ketika itu,” ujarnya.

Yang pasti, katanya, dalam era Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berlaku peningkatan jumlah kakitangan awam sejajar dengan pertambahan jumlah penduduk.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, Perdana Menteri juga tidak pernah lupa untuk memperbaiki tangga gaji, manfaat dan faedah kepada kakitangan kerajaan sepanjang pemerintahannya dari semasa ke semasa.

Antaranya ujar beliau, kenaikan gred secara automatik apabila sampai tempoh yang ditetapkan, kenaikan gaji tahunan dan kenaikan elaun khas kepada badan-badan beruniform.

“Turut menerima manfaatnya adalah dalam kalangan pesara yang jumlahnya kini mencecah 760,000 orang apabila Perdana Menteri mengumumkan kenaikan satu peratus kadar pencen secara one-off (sekali beri) baru-baru ini sebagai tambahan sebanyak dua peratus yang diterima sebelum ini,” katanya lagi.