Bekas Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Zamil Ibrahim berkata, jika BN mampu mengemukakan calon yang berkaliber, bersih dan dekat di hati rakyat maka hajat PPBM untuk merampas Kedah akan terkubur begitu sahaja.

Menurutnya, BN tidak mempunyai masalah untuk mempertahankan kerusi yang mahu ditandingi PPBM di Kubang Pasu, Langkawi, Jerlun, Pendang, Ba­ling dan Jerai kerana pembangkang tidak mempunyai isu tempatan terutama sejak Kedah dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

“Saya difahamkan masih berlaku perebutan kerusi dalam Pakatan Harapan di negeri ini. Ada kerusi yang diusahakan PPBM dapat kepada PKR mahupun PAN.

“Saya lihat kemungkinan untuk PPBM untuk tidak dapat kemenangan langsung (di Kedah) ada... mereka mungkin mempunyai peluang di Langkawi dan Jerlun namun bergantung kepada calon yang dikemukakan BN,” katanya.

Penasihat Badan Amal Tarbiah Sejagat (Batas) Kedah itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Pakatan Harapan yang diketuai DAP meletakkan PPBM bertanding di 52 kerusi yang diwakili UMNO dan BN pada PRU-14.

Terdahulu, Pengerusi Batas Kedah, Hafizam Harun membuat laporan polis terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menghasut rakyat di negara ini dalam usaha menggulingkan kerajaan BN yang dipilih melalui sistem demokrasi.