Ahli Majlis Tertinggi UMNO, DATUK SERI MAHDZIR KHALID berkongsi pandangan bersama wartawan Utusan Malaysia, SAFINA RAMLI berhubung pandangan beliau mengenai persediaan parti dalam berdepan pilihan raya umum.

UTUSAN: Bagaimana Datuk Seri melihat persediaan-persediaan yang diambil oleh parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

MAHDZIR: Paling penting sekali ialah persediaan peringkat parti untuk menghadapi pilihan raya.Persediaan pa­ling bawah sekali iaitu persediaan di peringkat jawatankuasa pusat daerah mengundi (PDM), Dewan Undangan Negeri (DUN),Parlimen dan persediaan negeri, akhir sekali peringkat nasional. Kita sebenarnya telah bersedia malah kita tahu di setiap lokaliti itu siapa pengundi yang di atas pagar juga. Pada masa ini saya lihat di semua peringkat berada dalam keadaan siap siaga menghadapi PRU-14.

Datuk Seri berpengalaman luas di Kedah yang dikatakan swing state. Bagaimana persediaan bagi memastikan Kedah kekal di tangan BN.

Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah telah menggerakkan jentera pilihan raya di semua peringkat dan yang terbaru minggu lepas kami telah berjumpa dengan semua ketua PDM. Melalui perjumpaan tersebut kita telah beri arahan terbaru apa yang patut dibuat mulai hari ini hingga beberapa bulan akan datang sehingga pilihan raya.

Calon muda dikatakan perlu seimbang dalam PRU-14, bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini mampu dilaksanakan UMNO?

Soal calon adalah keputusan pucuk pimpinan sememangnya ada yang tidak menyebelahi kita 100 peratus. Jadi kita kena wala, kena taat kepada keputusan yang dibuat. Itu adalah sebahagian dalam politik. Kena terima apabila sampai masanya, kita reda.Macam tender, kita nak bagi satu sahaja tapi yang masuk mencuba 10 orang, sembilan yang tak dapat itu mungkin ada yang berkaliber tetapi penting kena ada sifat reda. Konsep wala atau kesetiaan kepada pemimpin kena kuat. Daripada kita tidak dapat jadi calon kita buat sesuatu kemudian parti kita kalah. Kita te­lah laluinya dan akhirnya Kedah kalah. Semua orang tidak dapat apa-apa.

Faktor Pakatan Harapan, adakah gabungan antara DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR dan PAN ini mampu mengugat kekukuhan UMNO.

Pakatan Harapan seperti PPBM mereka ingin ambil ahli UMNO jadi mereka cari orang orang yang kecewa, begitu juga dengan orang Pas yang kecewa.Parti ini serpihan UMNO, serpihan Pas yang bergabung dengan DAP dan PKR pula. Kita semua tahu yang dominan dalam Pakatan Harapan adalah DAP walaupun kita nampak Tun Dr. Mahathir Mohamad di barisan hadapan. Saya dapat rasakan UMNO sebenarnya berada lebih jauh di hadapan Pakatan Harapan dalam konteks kepercayaan rakyat.

Bagaimana dengan soal winning mentality pula, apa cara yang paling sesuai untuk diterapkan ia dalam pemikiran ahli.

Setiap hari kita kena fikir untuk menang, kita kena lawan propaganda pembangkang. Ini yang saya kata Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Pembangkang cakap kita jawab. Tapi bukan kita jawab dengan cara samseng atau sebarangan tapi jawab dengan fakta. Kalau mereka cakap soal cukai barang dan perkhidmatan (GST) 
kita kena beri fakta lengkap mengenai GST kepada rakyat agar mereka faham dan tidak terpengaruh dengan pembangkang.